• Feb : 26 : 2014 - Leadership Exploration and Development (LEAD) 2014
  • Jul : 6 : 2013 - [ARTIKEL] : RAMADHAN YANG BERTEMA
  • Jun : 22 : 2013 - [TAZKIRAH]: HAKIKATNYA PASTI
  • Aug : 18 : 2012 - [CARE FOR UMMAH] Secalit Tinta Dari Darul Fuqaha
  • Mar : 19 : 2012 - Gempar: Curi Melalui Tingkap & Kecurian Basikal

6 Julai 2013 bersamaan dengan 27 Syaaban 1434 Hijrah. 3 hari lagi menuju Ramadhan. Sudah bersediakah kita?

Firman Allah dalam surah Al Baqarah; 2:185; (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur.

Dari Ka’ab Bin ‘Ujrah (ra) katanya:

Rasulullah S.A.W bersabda: Berhimpunlah kamu sekalian dekat dengan mimbar. Maka kami pun berhimpun. Lalu beliau menaiki anak tangga mimbar, beliau berkata: Amin. Ketika naik ke anak tangga kedua, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika menaiki anak tangga ketiga, beliau berkata lagi: Amin. Dan ketika beliau turun (dari mimbar) kami pun bertanya: Ya Rasulullah, kami telah mendengar sesuatu dari tuan pada hari ini yang kami belum pernah mendengarnya sebelum ini.

Lalu baginda menjawab:

“Sesungguhnya Jibrail (A.S) telah membisikkan (doa) kepadaku, katanya: Celakalah orang yang mendapati bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak juga diampuni. Lalu aku pun mengaminkan doa tersebut. Ketika aku naik ke anak tangga kedua, dia berkata lagi: Celakalah orang yang (apabila) disebut namamu di sisinya tetapi dia tidak menyambutnya dengan salawat ke atasmu. Lalu aku pun mengaminkannya. Dan ketika aku naik ke anak tangga yang ketiga, dia berkata lagi: Celakalah orang yang mendapati ibubapanya yang sudah tua atau salah seorang daripadanya, namun mereka tidak memasukkan dia ke dalam syurga. Lalu aku pun mengaminkannya.”

Hadits Riwayat Bazzar dalam Majma’uz Zawaid 10/1675-166, Hakim 4/153 disahihkannya dan disetujui oleh Imam Adz-Dzahabi dari Ka’ab bin Ujrah, diriwayatkan juga oleh Imam Bukhari dalam Adabul Mufrad no. 644 (Shahih Al-Adabul Mufrad No.500 dari Jabir bin Abdillah)

Rasulullah s.a.w mengaminkan mereka yang berada dalam bulan Ramadhan tetapi dosanya tidak diampuni.
Mahukah kita menjadi salah satu daripada kalangan mereka yang diaminkan Rasulullah ini? Nauzu billahi min zalik.

Syaaban; bulan persediaan

Ibarat acara sukan lompat jauh, bagi memastikan seseorang atlet itu berjaya melompat jauh dengan sebaik-baiknya, menjadi suatu perkara yang wajar dilakukan untuk berlari dahulu sebelum terus melompat. Sekiranya atlet tersebut berlari terlebih dahulu sebelum lompat, kemungkinan atlet tersebut untuk melompat dengan lebih jauh adalah lebih tinggi daripada sekadar berdiri dan kemudiannya melompat dengan momentum yang rendah. Hal ini merupakan suatu analogi, bahawa momentum yang tinggi adalah diperlukan sebagai suatu persediaan sebelum ‘melompat’ ke hadapan secara optimum.

Begitu juga dengan Ramadhan yang semakin hampir. Sekiranya kita memasuki bulan Ramadhan tanpa apa-apa persediaan, samalah kita ibarat atlet yang tidak berlari terlebih dahulu. Sebaliknya, sekadar menunggu di hadapan pasir berdebu, kemudian terus melompat tanpa momentum yang sepatutnya. Sudah pasti kita menjadi kurang mampu untuk menunjukkan prestasi yang terbaik kerana kurangnya momentum atau persediaan sebelum menghadapi acara besar tahunan yang Allah kurniakan kepada kita, iaitu bulan Ramadhan yang mulia.

Oleh itu, ternyata banyak persediaan dan persiapan diperlukan. Antaranya, persiapan dari segi iman, emosi, fizikal, kewangan dan kesediaan menghadapi bulan Ramadhan ini dengan sebaik-baiknya, dengan harapan tahun ini biarlah lebih baik daripada tahun-tahun yang sudah berlalu.

3 hari sahaja lagi. Sempatkah mahu membuat apa-apa persiapan?

Muhasabah Ramadhan lalu

3 hari yang bakal berlangsung sebelum Ramadhan ini, merupakan ‘final gear up’ sebelum memasuki bulan yang mulia.

Saya masih ingat ketika saya mahu belajar solat dahulu, saya beritahu pada diri sendiri, bermula Ramadhan ini, saya berazam untuk solat penuh lima waktu. Semangat berkobar-kobar, azam memenuhi diri yang bercita-cita untuk menjadi hamba yang taat.

Namun, keazaman tersebut, ‘failed miserably’. Apabila difikirkan semula, barulah saya memahami bahawa saya tidak menyediakan persiapan yang selayaknya. Mana mungkin belum pernah solat penuh, tiba-tiba mahu melakukan sedemikian apabila Ramadhan tiba? Betul, hal ini tidak mustahil. Saya tidak menolak kemungkinan ini. Namun, keazaman tersebut, sekiranya dimulakan sedikit demi sedikit sejak awal lagi, bahkan jika dilaksanakan dengan penuh kesungguhan sejak bulan Syaaban lagi, in shaa Allah akan menjanjikan kemungkinan yang lebih besar untuk dilaksanakan dengan cemerlang pada Ramadhan tersebut. Maksudnya di sini, jangan tunggu Ramadhan baru hendak berusaha. Ayuh, mulakan sedikit demi sedikit, dari sekarang.

Oleh itu, belajar dari kesilapan, adalah menjadi lebih baik kalau kita sediakan diri sebelum Ramadhan menjelma.

3 hari sebelum Ramadhan?
Sungguh, masih belum terlambat! Harapan sentiasa ada, bagi mereka yang percaya.


Pre-Ramadhan; ahlan wasahlan!

Pre-Ramadhan. Meraikan dan bersedia untuk Ramadhan meskipun belum masuk bulan Ramadhan.

Usah ditunggu Ramadhan tiba baru hendak bangun berqiamullail.
Usah ditunggu Ramadhan tiba baru hendak usahakan tidak mahu tidur semula sesudah Subuh.
Usah ditunggu Ramadhan tiba baru hendak menolong ibu mencuci pinggan mangkuk di dapur.
Usah ditunggu Ramadhan tiba baru hendak ambil tahu krisis umat Islam di Mesir.

Ambil tahu sekarang, usahakan sekarang.
Beritahu diri sendiri; “Andai hari ini 1 Ramadhan, agak-agaknya apa yang akan aku lakukan?”
Kemudian, lakukan sekarang. Ibarat latihan dan ‘final gear up’ sebelum berlangsungnya Ramadhan.

Benar, lewat betul mahu usaha, sedangkan Syaaban sudah menghampiri penghujungnya. Namun, jangan berfikiran begitu, kerana peluang untuk mencipta pengakhiran yang lebih baik, tidak pernah kenal bila waktunya kita bermula. Sudah tersedar, gunakanlah peluang yang ada. Jangan difokuskan pada masa-masa yang sudah berlalu atau peluang yang tidak akan hadir semula.

Mudah-mudahan dengan adanya pre-Ramadhan ini, membantu kita agar lebih istiqamah dan bersedia.
Nama pun ‘final gear up’ Ramadhan.

‘Final gear up’, dalam sesi pre-Ramadhan.


Tema Ramadhan tahun ini?

Tema Ramadhan bukanlah kemestian, namun semoga menjadi pendorong dalam mewarnai Ramadhan pada tahun ini.

Dalam buku yang sudah pastinya tidak asing lagi di kalangan kita, iaitu ‘The 7 Habits of Highly Effective People’ tulisan Stephen R. Covey, beliau menyatakan di dalam buku tersebut mengenai ‘habit’ kedua, iaitu ‘begin with the end in mind’.

‘Begin with the end in mind’ akan membantu kita untuk lebih bersiap sedia dan bersemangat, kerana kita tahu apa yang ingin kita laksanakan, dan apa yang kita impikan. Sebagai contoh, sekiranya seseorang itu ingin membeli kereta A, maka usahanya dalam mengumpul duit akan terus berfokus dan terlaksana kerana keinginannya untuk memiliki kereta A. Begitu juga kita, sekiranya kita tahu matlamat akhir kita pada Ramadhan ini, in shaa Allah, maka kita akan berusaha keras ke arahnya, kerana itulah yang ingin kita capai pada akhir Ramadhan.

Agar keluar sahaja dari madrasah Ramadhan, dengan izin Tuhan, kita mencapai apa yang kita harapkan.

Contohnya, jika kita ingin mengkhatam 30 juzuk Al Quran pada Ramadhan ini, maka itulah tema Ramadhan kita. Berbeza dengan Ramadhan lepas, kerana temanya (atau perkara yang kita capai Ramadhan lepas) adalah berlainan. Bermaksud, setiap sesi Ramadhan itu, kita hargai sebaik-baiknya, kerana kita tahu Ramadhan kita bukan sekadar Ramadhan biasa-biasa. Kerana setiap Ramadhan ada temanya. Tema Ramadhan yang kita tetapkan sendiri mengikut kemampuan, atau didoakan agar menjadi lonjakan bagi mencapai identiti seorang Muslim yang lebih baik.

Justeru, apa yang ingin dicapai Ramadhan tahun ini? Apa temanya? Kalau belum ada, bolehlah difikirkan sekarang. Sungguh, masih belum terlambat.

Kerana tema itu, dengan izin Tuhan, akan menjadi perkara yang ingin kita capai, lantas menjadi tema Ramadhan yang akan diusahakan.

Kerana Ramadhan yang bertema;
mendorong kita agar terus berusaha!

Penutup

Hadis riwayat Abu Hurairah ra.:

Bahawa Rasulullah saw. bersabda: Apabila tiba bulan Ramadan, maka dibukalah pintu-pintu surga, ditutuplah pintu neraka dan setan-setan dibelenggu. (Shahih Muslim No.1793)

Peringatan buat diri sendiri juga (As Saff; 61:2-3), tema Ramadhan ini, semoga menjadi asbab untuk lebih berusaha mengejar keredhaan Allah dalam bulan mulia Ramadhan.

Tema Ramadhan, antara seorang hamba dengan Tuhannya. Semoga menjadi saksi dan bukti bahawa kita akan berusaha.
“Begin with the end in mind” :)

“Allahumma balighna Ramadhan”
Mudah-mudahan, dengan izin Tuhan.

Leave a Reply


Video Terkini

[MOTIVASI] Berjaya dalam Ujian...

Posted on May - 16 - 2012

0 Comment

Trinity College Dublin

Posted on Jun - 17 - 2012

0 Comment

University College Dublin

Posted on Jun - 17 - 2012

0 Comment

[SYARIAH] : Qawaid Syariah...

Posted on Sep - 27 - 2012

0 Comment

Survival Guide: Living Issues

Posted on Jul - 11 - 2013

0 Comment